Seni silat melayu, perkuat nilai diri, budaya dan agama dari pengaruh penjajah

Dublin Core

Title

Seni silat melayu, perkuat nilai diri, budaya dan agama dari pengaruh penjajah

Subject

Seni silat melayu-cabaran

Description

Silat telah membentuk masyarakat Melayu dalam mempertahankan nilai diri, budaya dan agama dari pengaruh penjajah yang silih berganti.

Creator

Media Baharu

Source

Baharu, M. (2022, August 28). Seni silat melayu, perkuat nilai diri, budaya dan agama dari pengaruh penjajah. Portal Berita RTM. https://berita.rtm.gov.my/index.php/semasa/45951-seni-silat-melayu-perkuat-nilai-diri-budaya-dan-agama-dari-pengaruh-penjajah

Publisher

Radio Televisyen Malaysia

Date

2022

Text Item Type Metadata

Text

Silat telah membentuk masyarakat Melayu dalam mempertahankan nilai diri, budaya dan agama dari pengaruh penjajah yang silih berganti.

Pesilat juga telah diajar mengimbangi ilmu, amal dan kemahiran silat yang dapat membentuk kesempurnaan hidup seseorang insan.

Pengasas dan Pengerusi Pertubuhan Silat Berkeris Malaysia, Tengku Ahmad Ridhaudin Tengku Abdul Razak berkata, silat mempunyai satu seni peradaban melayu yang amat tinggi.

"Kalau kita belajar silat di ambang kemerdekaan ini, kita harus memahami bahawa silat itu menjamin kemerdekaan kita itu berterusan bukan bermaksud kita belajar silat untuk menyerang orang atau belajar silat untuk membuli, kita sebenarnya belajar silat untuk tidak dibuli.

"Dengan adanya jati diri ditambah dengan keimanan dan kefahaman tentang siapa diri kita, dari mana asal usul kita, ke mana kita nak pergi maka silat itu membina satu kekayaan sumber kekuatan diri, menambah keyakinan diri dan memberikan kita peluang sekiranya berlaku sesuatu serangan kepada kita.. kita dengan yakinnya atau dengan siap sedianya menjadi benteng negara," katanya.

Menurut Tengku Ahmad, pendekar- pendekar silat seperti Laksamana Hang Tuah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman adalah individu yang menjadi benteng utama menentang penjajah suatu ketika dahulu.

Ini membuktikan seni silat ini mempunyai peranan yang besar terutamanya dalam pembentukan sesebuah negara bangsa seperti Malaysia.

Seni silat Melayu ini juga melambangkan akal budi Melayu yang akan mencerminkan falsafah, pemikiran, emosi dan gaya hidup orang Melayu di rantau Nusantara ini.

"Silat berkeris membantu saya memahami diri saya serta asal usul saya. Silat berkeris juga mengajar untuk tidak bertembung dan tidak menyerang walaupun sekiranya apabila waktu- waktunya datang saya akan bersedia, selain itu silat berkeris membantu dan mengingat balik adat dan adab Melayu yang betul," ujar salah seorang pesilat, Tengku Idris Syafi.

Pendidikan silat menumpukan kepada pembangunan manusia dari luaran dan dalaman.

Ia dapat membentuk masyarakat berdisiplin, patriotisme, jati diri, kewarganegaraan dalam pembangunan pemikiran dan tenaga bangsa, agama dan negara.